15 Nov. - Rahsia seorang gadis berusia 24 tahun mengandung anak luar
nikah terbongkar apabila dia melahirkan bayi seorang diri di dalam bilik
di rumahnya di Lorong Haji Salleh, Batu Lima Jalan Meru dekat sini
semalam.
Perkara tersebut hanya diketahui apabila kakaknya yang berusia 27
tahun terjumpa seorang bayi lelaki yang tidak bernyawa di atas tilam
dalam bilik gadis itu.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd. Shukor
Sulong berkata, laporan polis dibuat oleh kakak gadis terbabit dan bayi
lelaki cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira pukul 4 petang.
Beliau berkata, hasil soal siasat mendapati suspek yang bekerja
sebagai jurujual di sebuah kedai pakaian di pekan Meru dipercayai
menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki warga Bangladesh sejak awal
tahun ini.
Namun, katanya, warga Bangladesh tersebut telah pulang ke negara asalnya pada Mac lalu.
"Siasatan Unit Forensik menjumpai tali pusat dalam satu beg plastik dan dipercayai suspek memotong sendiri tali pusat berkenaan.
"Suspek dan mayat bayi lelaki tersebut dihantar ke Hospital Tengku
Ampuan Rahimah (HTAR) untuk pemeriksaan dan bedah siasat. Punca kematian
bayi itu juga sedang disiasat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Mohd. Shukor, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.
Dalam pada itu, usaha untuk menemu bual ahli keluarga gadis itu gagal
apabila pemberita diusir dari kawasan rumah keluarga tersebut.