KUANTAN - “Perbuatan ganas kamu terhadap bayi terbabit tidak dapat
dimaafkan bukan hanya kepada mangsa dan keluarga tapi masyarakat secara
keseluruhannya.
“Saya harap hukuman berat yang dijatuhkan hari ini menjadi satu
pengajaran,” tegur Majistret Rini Triany Mohamad Ali terhadap seorang
bekas pekerja pusat snuker, Khoirumminan Ranizal, 20 selepas lelaki itu
mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam atas
tuduhan mendera anak teman wanitanya di sini, 23 Julai tahun lalu.
Dalam keputusannya semalam, Rini Triany memerintahkan tertuduh yang
berasal dari Kampung Tanjung Chempaka, Pekan dihukum penjara selama lima
tahun bermula daripada tarikh dia ditangkap 24 Julai 2012.
Sebelum itu tertuduh dalam rayuannya merayu agar hukuman dikurangkan
memandangkan dia sudah insaf dan bersedia menerima hukuman atas
kesalahan yang dilakukan.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari memohon satu
hukuman yang berat terhadap tertuduh memandangkan perbuatan lelaki
terhadap mangsa, Muhammad Adam Mikhail Abdullah yang baru berusia 10
bulan ketika kejadian amat ganas dan tidak berperikemanusiaan.
Menurutnya, akibat perbuatan tertuduh itu, mangsa yang kini masih koma
dan bergantung kepada bantuan alat pernafasan dirawat di Hospital Tengku
Ampuan Afzan (HTAA).
“Berdasarkan laporan hasil pembedahan yang dijalankan, kecederaan
bahagian usus bayi itu menyebabkan organ tersebut gagal berfungsi dan
akan kekal sepanjang hayat,” katanya.
Farahah berkata, dalam kes itu, tertuduh mengenali mangsa dan ibunya
namun tergamak melakukan perbuatan tersebut ke atas bayi yang
diletakkan di bawah jagaannya.
Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah itu buat pertama kali pada 1 Ogos
2012 didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik sewa di Jalan
Wong Ah Jang bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah ketika itu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Khoirumminan didakwa mencederakan
mangsa yang ditinggalkan di bawah jagaannya ketika teman wanitanya
keluar bekerja.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8 malam, 23 Julai 2012 hingga jam 3.30 petang hari berikutnya.
Kecederaan pada mangsa disedari ibunya berusia 22 tahun selepas mendapati anaknya itu menangis dan muntah–muntah.
Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana mengesyaki tertuduh
mendera anaknya hingga terpaksa dirawat di Unit PICU Hospital Tengku
Ampuan Afzan (HTAA).
Susulan laporan tersebut, tertuduh ditahan sehari selepas kejadian dan
dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 31(1) Akta
Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000
atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.
notakaki : bayi pecah usus dan kekal sepanjang hayat. pelaku hanya kena penjara 5 tahun, kenapa tidak sepanjang hayat?