TINDAKAN ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagobal
tidak menyenaraikan kapten pasukan Kelantan, Badri Radzi atau Piya dalam
skuad Harimau Malaya tidak merugikan sesiapa termasuk Persatuan Bola
Sepak Kelantan (Kafa).
Presidennya, Tan Sri Annuar Musa berkata walaupun tidak dapat bersama
skuad kebangsaan, namun pemain itu dapat menimba pengalaman berharga di
persada antarabangsa bersama Kelantan.
"Kelantan sendiri terbabit dalam perlawanan antarabangsa dalam saingan
Piala AFC dan perlawanan antarabangsa dengan kelab dari luar negara,"
katanya kepada pemberita pada majlis memperkenalkan dua pemain import
baharu di Kota Bharu, hari ini.
Dua pemain tersebut ialah pemain sayap Salim Arrache dari Perancis dan penyerang Dickson Nwakaemi dari Nigeria.
Kedua-dua pemain import itu akan diuji pada perlawanan persahabatan
antarabangsa antara Kelantan dan kelab Liga Perdana Indonesia, Semen
Padang, di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini, Sabtu ini.
Bagaimanapun, Annuar berkata, Kafa akan sentiasa terbuka dan akan
memberi kerjasama jika Rajagobal memanggil semula Piya untuk menjalani
latihan bersama skuad kebangsaan. - Bernama
No comments:
Post a Comment