SINGAPURA: Republik ini kelmarin berkata ia menolak rancangan aktivis Korea Selatan untuk mendirikan sebuah tugu di tengah ibu kota ini bagi memperingati wanita yang dipaksa menjadi hamba seks oleh Jepun ketika Perang Dunia Kedua.
Kementerian kebudayaan menafikan dakwaan oleh Majlis Wanita Kerahan Untuk Perhambaan Seksual Tentera Korea, yang berkata ada perbincangan mengenai rancangan mendirikan patung terbabit. “Itu tidak benar,” kata kementerian kepada AFP dalam satu kenyataan menerusi emel.
“Tiada pertemuan atau perbincangan berterusan antara kerajaan Singapura dan Majlis berhubung isu berkenaan. Begitu juga tiada patung sebegitu akan didirikan di Singapura.”
Di Seoul minggu lalu, aktivis mendedahkan rancangan mendirikan tugu berkenaan, mewakili “wanita pendamping” yang dipaksa mendiami rumah pelacuran tentera Jepun ketika perang, di sejumlah negara Asia bermula di republik ini.
Mereka juga berkata sedang mengadakan rundingan dengan pihak berkuasa Singapura dan menambah satu delegasi akan dihantar ke sini untuk memuktamadkan rancangan itu.
Kumpulan Korea Selatan itu menjadi perancang tugu gangsa seorang gadis muda dengan seekor rama-rama pada bahunya yang didirikan pada 2011 berhadapan Kedutaan Jepun di Seoul. Tugu lain juga dirancang didirikan di China, Malaysia dan Indonesia, kata mereka. – AFP