
KUALA KRAI - Ketika umat Islam sibuk membuat persiapan Ramadan, sebuah
keluarga di Kampung Tengah dekat sini, hanya menunggu hari yang
dinanti-nantikan ini tanpa sebarang persediaan.
Kesempitan hidup, ditambah pula dengan masalah kesihatan ditanggung
Asmawati Samsudin, 29, menyebabkan hari-hari dilaluinya sepanjang
Ramadan sama sahaja seperti hari biasa.
Baginya tiada istilah makanan istimewa sebagai juadah berbuka puasa,
kerana apa yang ada untuk mengisi perut mereka anak-beranak, itu sudah
cukup membuatkannya bersyukur.
“Puasa, raya atau hari biasa tetap sama bagi kami, cuma jika
berkemampuan dapatlah belikan pakaian untuk anak-anak," kata wanita
tabah ini yang menghidap sakit saraf sejak lebih 15 tahun lalu.
Asmawati dan suami, Zalani Mohamad, 36, lebih mengutamakan keperluan
harian mereka enam beranak, berbanding keperluan menyambut Ramadan dan
Syawal.
Menurutnya, perbelanjaan keperluan harian mereka bergantung sepenuhnya
daripada bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300
sebulan.
"Pendapatan suami yang bekerja di kilang kayu tidak menentu, bergantung
kepada keadaan, namun kami bersyukur kerana walaupun hidup susah,
anak-anak tidak banyak karenah.
"Empat anak kami, Mohammad Ameer Aiman, 9; Nurul Kyra Azureen, 6; Nurul
Ameera Damia, 3; dan Nurul Syazleen Humairah, 2, seolah-olah memahami
kesusahan kami. Keadaan ini menyebabkan mereka lebih matang daripada
usia apabila anak kedua rajin membantu saya melakukan kerja rumah,"
katanya yang terpaksa melakukan kerja rumah dalam keadaan mengengsot.
Lebih menyedihkan katanya, apabila anak bongsunya hanya diberikan susu pekat manis kerana tidak mampu membeli susu tepung.
"Itu sahaja yang dapat saya berikan jika dia menangis mahu susu. Walaupun hati hiba tapi apakan daya saya tidak mampu.
"Namun, kami masih ada tempat berteduh tetapi setiap kali hujan lebat, air akan masuk dalam rumah.
"Ini menyebabkan luka di lutut akan merebak dan berlaku jangkitan kuman
kerana air kotor terkena bahagian ini," katanya yang sayu mengenangkan
masa depan anak-anaknya.
Sehubungan itu, Asmawati merayu bantuan membaik pulih rumahnya.
“Saya risau bila hujan lebat atau musim banjir. Saya kerap bergerak
menggunakan lutut yang luka (berlubang), bila basah luka makin teruk dan
bimbang berlaku jangkitan kuman,” katanya yang sudah hilang deria rasa
sehinggakan tidak merasai sakit walaupun terkena air panas.
Bantuan boleh dihulurkan melalui akaun Bank Simpanan Nasional
(0300541000088062 - Asmawati) atau menghubungi ditalian 011-25765257.