YA ALLAH, temuikanlah kami dengan MH370

YA ALLAH, temuikanlah kami dengan MH370

Friday 1 February 2013

Bayi didera hingga pecah usus | Pelaku hanya dipenjara 5 tahun

KUANTAN - “Perbuatan ganas kamu terhadap bayi terbabit tidak dapat dimaafkan bukan hanya kepada mangsa dan keluarga tapi masyarakat secara keseluruhannya.

“Saya harap hukuman berat  yang dijatuhkan hari ini menjadi satu pengajaran,” tegur Majistret Rini Triany Mohamad Ali terhadap seorang  bekas pekerja pusat snuker, Khoirumminan Ranizal, 20 selepas lelaki itu mengaku bersalah dalam Mahkamah Majistret Kuantan semalam  atas   tuduhan mendera anak teman wanitanya di sini, 23 Julai tahun lalu.

Dalam keputusannya semalam,  Rini Triany  memerintahkan tertuduh yang berasal dari Kampung Tanjung Chempaka, Pekan dihukum penjara selama lima tahun bermula daripada tarikh dia ditangkap 24 Julai 2012.
Sebelum itu tertuduh dalam rayuannya merayu agar hukuman dikurangkan memandangkan dia sudah insaf dan  bersedia menerima hukuman atas kesalahan yang dilakukan.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Farahah Mohd Nazari memohon satu hukuman yang berat terhadap tertuduh   memandangkan perbuatan lelaki terhadap mangsa, Muhammad Adam Mikhail Abdullah yang baru berusia 10 bulan ketika kejadian amat ganas  dan tidak berperikemanusiaan.

Menurutnya, akibat perbuatan tertuduh itu, mangsa yang kini masih koma dan bergantung kepada bantuan alat pernafasan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Berdasarkan laporan hasil pembedahan yang dijalankan, kecederaan bahagian usus bayi itu menyebabkan organ tersebut gagal berfungsi dan akan kekal sepanjang hayat,” katanya.

Farahah berkata, dalam kes itu, tertuduh mengenali mangsa dan ibunya namun tergamak  melakukan perbuatan tersebut  ke atas bayi  yang diletakkan di bawah jagaannya.

Tertuduh yang dihadapkan ke mahkamah itu buat pertama kali pada 1 Ogos 2012 didakwa melakukan kesalahan itu dalam sebuah bilik sewa di Jalan Wong Ah Jang bagaimanapun dia mengaku tidak bersalah ketika itu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Khoirumminan didakwa mencederakan mangsa  yang ditinggalkan di bawah jagaannya ketika teman wanitanya keluar bekerja.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 8 malam, 23 Julai 2012 hingga jam 3.30 petang hari berikutnya.

Kecederaan pada  mangsa disedari ibunya berusia 22 tahun selepas mendapati anaknya itu  menangis dan muntah–muntah.

Ibu mangsa kemudiannya membuat laporan polis kerana mengesyaki tertuduh mendera anaknya hingga terpaksa dirawat di Unit PICU Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Susulan laporan tersebut, tertuduh ditahan sehari selepas kejadian dan dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

notakaki : bayi pecah usus dan kekal sepanjang hayat. pelaku hanya kena penjara 5 tahun, kenapa tidak sepanjang hayat?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...