Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha pada Jumaat memberitahu mStar Online bahawa jabatan itu mengambil perhatian terhadap gesaan segelintir pihak yang meminta siasatan dibuat berhubung perkara itu.
“Jakim sedang menyiasat mengenai dakwaan itu sama ada ia benar atau tidak dikatakan menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini.
“Kami juga akan membuat penelitian secara telus mengenai sumber, sasaran dan tujuan lagu berkenaan sewajarnya,” katanya.
Beliau mengulas mengenai gesaan Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi yang menggesa Jakim supaya menyiasat lagu ‘Harapan Bangsa’ nyanyian Jaclyn Victor itu.
Othman menambah, siasatan yang dilakukan oleh Jakim bertujuan untuk memperoleh pengesahan sebenar bagi mengelak kekeliruan masyarakat terutama umat Islam di negara ini.
Sebuah akhbar berbahasa Melayu pada Jumaat melaporkan Dr Mohd Puad dipetik sebagai berkata lagu berkenaan tidak sesuai disiarkan kerana bimbang akan menimbulkan keresahan dalam kalangan penganut agama lain yang mungkin menganggapnya sensitif.
"Setelah meneliti lirik lagu ini, pada rangkap korusnya ada menyebut `setiap suku, setiap kaum dan setiap bangsa kan menyembah di tahtah (takhta) mu' memberi gambaran seolah-olah orang Melayu Islam juga begitu.
"Dia (Jaclyn) kena sensitif, dalam lirik itu juga jelas menunjukkan `Yesus (Jesus) adalah tuhanku'. Kalau dia sebut setiap penganutmu, orang faham penganut agamanya (Kristian) saja tetapi jangan sebut setiap suku, kaum dan bangsa di negara ini yang turut meliputi orang Melayu,” katanya.
Selain Jakim, Dr Mohd Puad turut mengesa siasatan yang sama dilakukan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula bertindak menyeru supaya memboikot album dan persembahan Jaclyn Victor berikutan dakwaan lagu penyanyi itu tidak sensitif dan tidak menghormati penganut agama lain.
Dilaporkan, Jaclyn dipetik sebagai berkata lagu itu dirakam sekitar 2007 khusus untuk penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak serta pihak gereja.
Menurut Jaclyn lagi, sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan agama, isu lagu Harapan Bangsa tidak perlu dipertikaikan.
"Sebagai seorang penganut kristian, rasanya tidak salah jika saya yang beragama Kristian menyanyikan lagu itu.
“Lagipun, ia bukan untuk tujuan komersial. Jadi mengapa perlu mempertikaikan lagu yang sudah lama dirakamkan itu?” soalnya.
Jaclyn Victor Tiada Niat Sebar Kristian Menerusi Lagu
PETALING JAYA: Penyanyi Jaclyn Victor menganggap lagu Harapan Bangsa yang dinyanyikannya adalah salah satu bentuk sumbangan dan tanggungjawab untuk agamanya iaitu Kristian.
Jaclyn atau nama sebenarnya Jaclyn Joshua Thanaraj Victor, 33, berkata, dia menyanyikan lagu itu dalam Bahasa Malaysia bukan bertujuan untuk menyebarkan agama berkenaan tetapi dikhususkan kepada penganut Kristian di Sabah dan Sarawak.
"Saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang penganut Kristian dengan menyanyikan lagu berkenaan kepada orang Kristian di Sabah dan Sarawak. Kebanyakan mereka di dua negeri itu lebih faham Bahasa Malaysia.
"Dan sebagai sebuah negara yang mengamalkan kebebasan beragama, isu tersebut tidak seharusnya dipertikaikan," katanya kepada mStar Online apabila diminta mengulas lagu berkenaan yang menjadi isu selepas beberapa pihak membuat pertikaian mengenainya.
Utusan Malaysia pada Jumaat melaporkan, Timbalan Menteri Pelajaran yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta kementerian berkaitan menyiasat lagu Harapan Bangsa yang mungkin telah menyentuh sensitiviti penganut agama lain di negara ini.
Sebelum ini, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) turut mendakwa Jac telah menghina Islam gara-gara menyanyikan lagu yang mengandungi konotasi agama yang berkaitan dengan agama Kristian.
Lagu tersebut menjadi kontroversi selepas ia dimuat naik menerusi YouTube bermula Januari lalu.
Tambah penyanyi kelahiran Kuala Lumpur ini, dia tidak melakukan sebarang kesalahan kerana lagu berkenaan bukan dihasilkan untuk tujuan komersial.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Norman Abdul Halim menyifatkan perbuatan Jac bukanlah satu kesalahan untuk dia menyanyikan lagu agama yang dianutinya walaupun dalam apa juga bahasa sekalipun.
"Saya rasa perkara ini tidak perlu diperbesarkan dan andai kata memang benar masyarakat beragama lain terasa, janganlah berfikiran terlalu sensitif.
"Jika ia mampu memesongkan akidah penganut agama lain kerana nyanyiannya dalam Bahasa Melayu, keadaan tetap akan sama jika lagu tersebut dinyanyikan dalam Bahasa Inggeris kerana masyarakat negara ini tetap faham akan maksudnya.
"Mungkin pihak Perkasa ada perjuangannya yang tersendiri, cuma saya harap isu ini tidak perlu diperbesarkan kerana di Malaysia, kita mempunyai pelbagai kaum serta agama. Semua pihak bebas untuk menunaikan tanggungjawab terhadap agama yang dianuti," katanya.
Norman juga berharap isu yang remeh seperti itu tidak perlu dikontroversikan kerana ia mampu memecah belah kaum di negara ini selain banyak lagi perkara lain yang boleh dibangkitkan.