Mangsa gangguan sudah mula dapat hidup tenang
KOTA BHARU - Mangsa gangguan api misteri, Zainab Sulaiman, 75,
melahirkan rasa bersyukur dan gembira apabila kejadian api misteri yang
berlaku semenjak tiga tahun lalu kini sudah tidak berlaku lagi.
Dia yang tinggal bersama anak dan cucunya di rumah yang terletak di
Kampung Penambang Bunga Emas di sini berkata, mereka sekarang dapat
hidup dengan tenang dan melakukan kerja harian tanpa perlu memikirkan
masalah tersebut.
“Sudah 16 hari kami tidak diganggu oleh api misteri selepas mendapat
rawatan daripada Pusat Rawatan Islam At-Tobibi dari Nilai, Negeri
Sembilan.
“Makcik berharap misteri ini akan berakhir buat selamanya dan terima
kasih kepada semua pihak yang telah membantu kami,” katanya.
Sementara itu, pengasas pusat rawatan tersebut, Shamsuri Shafie
berkata, pihaknya akan terus membuat pemantauan dari masa ke semasa ke
atas rumah itu dalam usaha untuk memastikan gangguan tersebut tidak
berulang.
Beliau berkata, pihaknya hanya mampu berikhtiar selebihnya ALLAH SWT
yang menentukan dan memohon kepada keluarga tersebut agar
memperbanyakkan solat Hajat serta berdoa semoga gangguan yang dialami
pulih sepenuhnya.
“Semua ini adalah ujian dari ALLAH SWT kepada keluarga makcik Zainab dan saya yakin mereka dapat mengharunginya dengan tabah,”
Sumber sinar Harian